
Oleh: Shamsudin Semang
Ramadhan datang. Umat Islam bertemu puasa lagi. Kata Ustaz, bulan ini bulan barakah. Bulan mengekang hawa nafsu.
Menahan lapar, dahaga dan perkara yang membatalkan puasa menjadi jalan bagi kita mengawal kehendak nafsu (tidak berbatas) ke atas tubuh kita (berbatas). Amalan ini diulang selama sebulan sebagai latihan manusia kembali pada fitrah.

Di bulan penuh barakah ini, seringkali juga ustaz mahupun P.U (pencetus ummah) berpesan supaya ambil kesempatan di bulan ini untuk melatih diri tahan dari kehendak hawa nafsu dan pembaziran terutama tika berbuka puasa. Sesungguhnya, membazir itu amalan syaitan!
Ironi, dalam bulan di mana syaitan diikat, masalah pembaziran meningkat, lagi-lagi waktu berbuka. Buffet Ramadhan bagaikan medan perang membalas dendam laparnya siang tadi.
Hingga kita lupa kita hanyalah manusia yang berbatas. Perut hanya satu tapi nafsu bagai berperut empat – macam lembu. Perang dendam lapar ini diulang sampai Syawal, sampai perginya Ramadhan. Sedih.
Buktinya, dalam kajian yang dijalankan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Malaysia (SWCorp) pada 2018 menunjukkan rakyat negara ini membuang kira-kira 17,800 tan makanan setiap hari di sepanjang tahun.

Banyak bukan? Tapi ada lebih banyak. Kajian SWCorp juga dapati sepanjang bulan Ramadhan pada tahun itu, sebanyak 270,000 tan makanan yang tidak diusik, dibuang pula.
Jika disusun longgokan makanan 270,000 tan itu, ia bersamaan dengan ketinggian 30 buah bangunan KLCC.
Kalau dikira, jumlah makanan ini cukup untuk dihidangkan kepada 180 juta orang – enam kali ganda melebihi populasi rakyat Malaysia.
Sudahnya, Malaysia antara negara membangun yang terhimpit dengan masalah pembaziran makanan sepanjang tahun, kita tidak kembali kepada fitrah keperluan tubuh.

Hampir 18 ribu tan sisa makanan dibuang setiap hari. 300 ratus tan daripada keseluruhan makanan yang dibuang sepanjang tahun masih boleh dimakan.
Jadi, apakah makna Ramadhan kalau syaitan tersenyum walaupun diikat, kerana sebahagian besar dari kita meneruskan amalannya?
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Buletin 01